NORMALISASI DALAM DAKWAH
Dakwah Melalui Sistem, Bukan Ceramah Semata-Mata
Sejak sekian lama saya percaya bahawa dakwah ialah ceramah, tazkirah, dan program-program agama yang penuh nasihat. Namun semakin saya berumur, semakin saya sedar bahawa kelemahan saya sendiri dalam kemahiran insaniah — seperti mengurus kerja, menghormati masa, melayan orang dengan lembut, dan memimpin dengan beradab — sebenarnya jauh lebih penting daripada apa yang keluar dari mulut saya.
Saya semakin faham bahawa dakwah bukan soal berkata-kata, tetapi soal menjadi manusia yang boleh dipercayai. Dakwah bukan apa yang saya sampaikan di hadapan orang, tetapi apa yang saya lakukan ketika tiada orang melihat. Dan mungkin itulah kelemahan kita, sebagai individu dan sebagai gerakan: kita terlalu yakin ceramah mampu menyentuh hati, sedangkan tingkah laku kita kadang-kadang menjauhkan orang daripada apa yang kita seru.
Saya melihat fenomena menarik di negara Barat. Mereka tidak mengharamkan arak, judi atau dadah secara langsung, tetapi masyarakat majoriti tetap memandang tinggi nilai integriti, ketepatan masa, penjagaan kebersihan, amanah dalam kerja, dan penghormatan kepada sistem. Aneh, tetapi itulah realitinya: nilai Islam hidup dalam masyarakat bukan Islam kerana “normalisation”, bukan kerana paksaan. Nilai itu meresap perlahan, melalui budaya kerja, melalui sistem, dan melalui contoh yang konsisten.
Di sini saya mula bertanya kepada diri sendiri: adakah selama ini kita berdakwah, atau kita hanya bercakap? Adakah masyarakat melihat keindahan Islam dalam akhlak kita, atau hanya dalam poster-poster program kita? Jika dakwah ialah memudahkan, bukan menyusahkan; menenangkan, bukan mengancam — maka apa yang harus saya perbaiki dahulu?
Saya percaya dakwah yang paling kuat ialah dakwah yang tidak disedari. Dakwah melalui pengurusan yang kemas, mesyuarat yang teratur, program yang dilaksanakan dengan penuh hormat kepada masa orang lain, dan layanan sesama ahli yang penuh kasih. Inilah dakwah yang meresap jauh lebih dalam daripada ceramah satu jam. Dakwah melalui akhlak.
Mungkin sudah tiba masanya kita berubah sedikit demi sedikit. Bukannya membuang ceramah, tetapi menambah keindahan akhlak, sistem kerja, dan profesionalisme dalam perjuangan kita. Dengan cara itu, masyarakat akan melihat Islam bukan sebagai ancaman, tetapi sebagai rahmat.
apa saja jenis bala atau ujian.. ucap
الحمدالله
لاحول ولاقوةالاباالله العظيم
ماشاءالله